UMNO tidak boleh hidup dalam keadaan selesa pada masa pembangkang sedang berdepan dengan pelbagai krisis dalaman.

Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, parti sebaliknya perlu lebih aggresif memenangi hati pengundi bagi menjamin kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"Kita jangan rasa selesa, kita juga kena melihat kepada strategi dan muslihat pembangkang yang sudah pasti akan melakukan apa sahaja untuk menawan Putrajaya," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Katanya, UMNO termasuk ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sewajarnya lebih bekerja keras menggerakan jentera parti di peringkat akar umbi.

"Ketiga-tiga saya berkenaan perlu tampil secara lebih pro-aktif sebagai benteng hadapan UMNO untuk memepertahankan maruah parti dan barisan kepimpinan.

"UMNO juga perlu memastikan kumpulan sasaran dan akar umbi sentiasa mendapat perhatian dan disalurkan dengan maklumat yang tepat terutama membabitkan isu semasa.

"Kecanggihan teknologi maklumat terutama media sosial yang jaringan infomasinya telah diputabelitkan sedikit-sebanyak memberi kesan kepada pengundi," jelasnya

Oleh itu tegasnya, UMNO perlu lebih tangkas dan berani memintas segala maklumat, penyebaran fitnah dan provokasi jahat yang disalurkan pembangkang menerusi media sosial.

"Kurangnya maklumat dan ketidakupayaan pemimpin UMNO turun ke bawah juga akan mencetuskan kemarahan pengundi.

"Pemimpin UMNO perlu akur bahawa tahap kesedaran pengundi semakin meningkat dan mereka lebih sensitif dengan perkembangan semasa.

"Kita bimbang, keresahan dan kemarahan pengundi akan diterjemahkan menerusi peti undi dan perkembangan itu semestinya tidak memberi jaminan kemenangan kepada UMNO," ujarnya.

Syed Ali juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan memberitahu, parti tidak boleh mengambil mudah situasi semasa selain mahu UMNO di semua peringkat bekerja keras jika inginkan kemenangan mutlak.

"Komponen Barisan Nasional (BN) turut sama memainkan peranan. Anggota BN perlu menzahirkan gerak kerja mereka secara terbuka dan bersifat kolektif dalam usaha untuk memikat hati pengundi bukan Melayu.

"Keputusan PRU ke-13 jelas menunjukkan tahap sokongan pengundi bukan Melayu terhadap parti-parti komponen BN begitu merosot dan keputusan tersebut perlu diperbaiki," tegasnya.

Justeru katanya, rakan BN perlu melihat kepada kesungguhan dan keberkesanan UMNO melancarkan gerak kerja kepartian secara positif.

"UMNO sentiasa berusaha untuk memberi keyakinan kepada pengundi Melayu walaupun sedang berdepan dengan tahap kepecayaan dan cabaran yang agak getir.

"Kita tidak mengetepikan anggapan sesetengah pihak bahawa UMNO berdepan dengan laluan sukar pada PRU akan datang, kita terima pandangan tersebut dengan hati terbuka," katanya.

Bagaimanapun Syed Ali yakin, tahap sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO semakin meningkat walaupun terdapat parti baru yang ditubuhkan.

"Kemunculan beberapa parti baru sama ada berteraskan perjuangan Melayu atau multi nasional tidak akan menjejaskan kewibawaan UMNO sebagai parti utama orang Melayu di negara ini.

"Orang Melayu masih lagi menyokong perjuangan dan gagasan UMNO, cuma kadangkala berlaku keresahan di kalangan mereka akibat beberapa kelemahan yang masih boleh diperbaiki," ujarnya.