Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelantikan beliau sebagai pemangku jawatan Timbalan Presiden UMNO sebagai satu amanat dan tanggungjawab yang besar.

Dengan pelantikan itu, beliau berharap agar kekeliruan politik di negara ini dapat dilupakan dan melihat ke hadapan serta fokus kepada usaha memperkukuhkan parti tanpa mengetepikan tokoh lama dalam UMNO.

"Pada hemat saya tugas dan tanggungjawab ini tidak mengetepikan mana-mana tokoh atau individu terdahulu yang dilihat agak bersifat 'antagonistik' (menentang seseorang atau sesuatu pihak) ... ia keputusan sebulat suara oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Anti Dadah Kebangsaan di Taman Awam Lawas, di sini hari ini.

Beliau turut mengajak semua anggota UMNO, serta semua anggota komponen Barisan Nasional (BN) agar merapatkan barisan dalam membina dan memperkukuh azam baharu untuk berada di puncak sokongan.

Tambah Ahmad Zahid, bagi mencapai tujuan itu beliau juga akan merundingi tokoh-tokoh terdahulu dalam melaksanakan tanggungjawab baharu itu.

Jumaat lepas, Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden parti berkuat kuasa serta merta dan memutuskan bahawa Ahmad Zahid akan menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden parti.