Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berpendapat hakisan sokongan ketara dapat dilihat merentasi beberapa aspek yang perlu diberi perhatian serius termasuk penempatan Orang Asli.
"Bermula daripada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), keadaan telah berubah. Tambahan pula kepada isu melatari seperti isu blockade iaitu penduduk penempatan Orang Asli ini, mereka membuat blockade untuk menghalang aktiviti pembalakan (2018).
"Isu tanah Orang Asli... sepatutnya Orang Asli marah kepada Pas, tapi sebaliknya. Mereka marah kedua-dua pihak (BN dan Pas). Kesannya, lebih separuh daripada mereka tak keluar mengundi masa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
"Data pilihan raya menunjukkan sokongan terhadap BN mula merosot sejak PRU14. Mereka tewas kepada Perikatan Nasional (PN). Ada 20 pusat daerah mengundi (PDM). Lima PDM Orang Asli, 15 PDM perkampungan Melayu tradisi, Felda dan Kesedar.
"Felda Perasu, penempatan Kesedar atas inisiatif BN tidak lagi menjadi asas sokongan kepada BN.
"Ini menjadi beban kepada BN untuk rampas kembali kubu kuat mereka selama ini. Segmen pengundi bawah 40 tahun kebanyakan sudah menjauh dari BN. Generasi kedua Felda, Kesedar tidak lagi menyokong BN seperti mana generasi terlebih dahulu," katanya dalam AWANI Pagi pada Sabtu.
Jelas Hisommudin, BN atau PN seharusnya memberi perhatian serius terhadap peratusan undi Orang Asli melibatkan lebih 2,000 pengundi atau 14 peratus daripada keseluruhan pengundi dalam daftar pemilih.
Ini kerana berkemungkinan kumpulan pengundi ini boleh menjadi king maker sekiranya berlaku pertembungan sengit undi Melayu antara BN dan Pas.
"Elemen ini dalam satu pandang sisi, King maker ini mungkin kepada Orang Asli sekarang ini. Jadi itu yang menarik di Nenggiri. Saya simpulkan menjadi tugas berat kepada jentera UMNO dan BN untuk mereka melakukan peralihan sokongan mengubat dan juga merawat undi undi yang dahulunya pengundi tegar untuk kembali menyokong," katanya.