KUALA NERANG: Tindakan DAP meletakkan lebih ramai calon Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekadar 'boneka', untuk menunjukkan bahawa parti itu adalah sebuah parti majmuk.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata tindakan DAP itu juga, sebahagian daripada taktik parti itu untuk meraih undi daripada pengundi kaum Melayu.

"Saya fikir tindakan meletakkan calon Melayu itu untuk menunjukkan bahawa parti mereka berbilang kaum, sedangkan semua tahu bahawa segala keputusan yang dibuat dalam parti itu hanya dibuat oleh sekumpulan individu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Himpunan Anggota Kumpulan Pelaksana dan Pesara Kumpulan Pelaksana Pendidikan Padang Terap, serta Ketua-Ketua Pembantu Tadbir Peringkat Negeri Kedah dekat sini hari ini.

Mahdzir yang juga penyandang kerusi Parlimen Padang Terap itu mengulas tindakan DAP, yang meletakkan lebih ramai calon Melayu untuk bertanding pada 19 November depan.

Pada PRU kali ini, antara calon Melayu ditampilkan DAP ialah Syahredzan Johan di Bangi, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Lipis), Sheikh Umar Bagharib Ali (Ayer Hitam), Timbalan Pengerusi DAP Kedah Zulhazmi Shariff sebagai calon di Jerai dan terkini Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera).

-- BERNAMA