Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad tidak melihat keperluan untuk mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas seperti yang disarankan Pakatan Harapan (PH) Johor memandangkan penubuhan kerajaan baharu berpandukan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.

Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada budi bicara Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat untuk memanggil sidang DUN khas berkenaan atau tidak.

"Itu budi bicara Speaker Johor dan kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk sidang khas berkenaan.

"Jika sidang khas itu bertujuan untuk mengesahkan kerajaan yang ada ini dapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) , perkara itu sudah diputuskan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.


Hadir sama, 10 Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang baharu mengangkat sumpah dan Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussein.

Pagi tadi, 10 Exco mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene membabitkan Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang); Ayub Jamil (BN- Rengit), Zaiton Ismail (BN- Sungai Balang); Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN- Layang-Layang) dan R Vidyananthan (BN-Kahang).

Turut mengangkat sumpah, Mazlan Bujang (BERSATU-Puteri Wangsa), Mohd Solihan Badri (BERSATU-Tenang); Tosrin Jarvanthi (BERSATU-Bukit Permai), Mohd Izhar Ahmad (BERSATU-Larkin) dan Dr Chong Fat Full (Bebas- Pemanis).

Ditanya ketiadaan satu-satunya ADUN PAS di Johor, Kapten (B) Najib Lep (Bukit Pasir) dalam barisan Exco, Hasni yang juga ADUN Benut berkata, peranan wakil rakyat tidak terhad sebagai Exco semata-mata.

Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor berkata, barisan Exco baharu akan dinamakan sebagai Exco Kemakmuran Johor.