KUALA LUMPUR: Semua wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah berikrar untuk terus setia kepada parti demi membela bangsa, agama dan negara.


Ringkasan AI
  • Semua wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah berikrar untuk terus setia kepada parti demi membela bangsa, agama, dan negara.
  • Seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada parti.
  • Bersatu meluluskan pindaan perlembagaan parti selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan pada Perhimpunan Agung Khas. Ia susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada parti tersebut.

Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, Muhyiddin berkata, arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) itu dibuat selaras dengan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) baru-baru ini.

Menurutnya, arahan itu juga menepati kehendak Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai anti lompat parti.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Jawatankuasa Khas Bersatu yang bertungkus-lumus menyempurnakan Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi ini secara tertib dan teliti, menepati segenap lunas undang-undang.

“Adalah diperingatkan bahawa mengikut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu, ketidakpatuhan wakil rakyat Bersatu terhadap apa-apa arahan dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi adalah disifatkan terhenti keahliannya dari parti secara serta-merta,” menurut kenyataan tersebut.

Sebelum ini, Bersatu dilaporkan meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Pindaan perlembagaan itu dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia membabitkan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).