PAS akan tetap mengadakan sesi telesidang bersama bekas koperal Unit Tindakan Khas (UTK) Polis, Sirul Azhar esok, kata Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata PAS ingin memberi peluang kepada semua wartawan untuk mengajukan soalan kepada Sirul pada sesi telesidang yang dijadualkan berlangsung pada Isnin (esok) bermula jam 11.30 pagi di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

"Kami(PAS) cuma mahu memberi peluang kepada semua wakil media bertanya soalan kepada Sirul, bukan hanya satu media tetapi semua media.

"Apa yang dia nak cakap atau kalau dia nak ulang apa yang pernah dia cakap kepada Malaysiakini terpulang kepada dia.

"Kami tidak tahu apa yang dia nak cakap cuma nak beri peluang untuk dia bercakap dengan semua media dalam tempoh 15 minit," katanya kepada Astro AWANI.

Bagaimanapun, Mahfuz merasakan tidak mungkin Sirul akan mendedahkan kesemua maklumat berhubung pembunuhan Altantuya Shariibuu.

Jumaat lepas, Mahfuz dalam satu sidang media mengumumkan PAS akan mengadakan satu sesi telesidang selama 15 minit bersama Sirul yang kini berada di Australia.

Namun, dilaporkan pihak berkuasa imigresen Australia masih belum meluluskan sesi yang dirancang PAS itu namun dikatakan ia boleh dibenarkan pada masa akan datang selepas prosedur permohonan yang betul dipatuhi.

Sirul kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney, selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan Polis Antarabangsa, Interpol.