Pas tetap akan menurunkan jentera terbaik dalam membantu Barisan Nasional dalam merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai tidak kira calon itu dari UMNO atau MCA.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia dilaksanakan sebagai satu bentuk kerjasama kukuh membabitkan Pas dan UMNO selepas Piagam Muafakat Nasional ditandatangani 14 September lepas.

"Hari ni UMNO adakan mesyuarat biro politik dan keputusan calon akan dicapai dalam masa sehari atau dua nanti.

“Bagi Pas, kami sudah membuat kenyataan bahawa kami akan turun membantu tanpa mengira calon sama ada UMNO atau MCA.

“Apa yang pasti kami akan membantu kerana ini adalah bukti kerjasama kita,” katanya kepada media selepas merasmikan Himpunan Muttahidah 1.0 peringkat negeri Kedah, di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Jumaat.

BACA: UMNO tunda Perhimpunan Agung 2019, hantar wakil ke Kongres Maruah Melayu


Terdahulu, Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan calon BN akan diumumkan dalam waktu terdekat selepas kajian terperinci dibuat bersama parti komponen.

BACA: PRK Tanjung Piai: Calon diumum selepas kajian bersama komponen BN - Ahmad Zahid