Majlis Syura Ulama Pas adalah badan yang paling sesuai untuk memuktamadkan sebarang keputusan membabitkan tahaluf siyasi sama ada dengan PKR atau mana-mana parti politik.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata sebelum ini, pergerakan Dewan Ulama pernah mengusulkan penilaian semula tahaluf siyasi dengan DAP yang juga diputuskan oleh Majlis Syura.

"Maka kali ini, kami dan beberapa kawasan menyerahkan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan mengenai isu berkaitan PKR kerana tindakan parti terbabit jelas melanggar apa yang telah dipersetujui dalam tahaluf siyasi," kata Dr Mahfodz ketika sesi penggulungan di Muktamar Pas Pusat Ke-63 hari ini.

Semalam, perwakilan di muktamar telah meluluskan usul sebulat suara supaya tahaluf siyasi dengan PKR diputuskan.

Usul tersebut telah dibawa ke peringkat Muktamar Pas Pusat untuk dibahas selepas ianya diluluskan di peringkat Muktamar Dewan Pemuda, Dewan Muslimah dan Dewan Ulama.