Sekumpulan anak muda Sabah yang menggerakkan kempen Undi Sabah menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyemak semula keputusan berkaitan kemudahan undi pos kepada pengundi yang berada di luar negeri bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Sekretariat Undi Sabah berkata kemudahan undi pos dapat mengurangkan pergerakan merentas negeri ketika negara diancam pandemik COVID-19 selain menjimatkan kos para pengundi.

"Undi Sabah amat kesal dengan keputusan ini dan berpendirian bahawa undi pos patut dilaksanakan memandangkan negara berdepan wabak COVID-19.

"Kami berpandangan bahawa kemudahan undi pos adalah selaras dengan tatacara kebiasaan baharu yang perlu diamalkan untuk memutuskan rantaian penularan penyakit ini," kata sekretariat itu dalam kenyataan hari ini.

Bernama semalam melaporkan Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata SPR buat masa ini tidak bercadang memberi kemudahan undi pos bagi PRN Sabah.

Pada 30 Julai lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah, sekali gus membuka laluan PRN diadakan di negeri dalam tempoh 60 hari.

SPR dijadual mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Sabah esok, bagi membincangkan tarikh penting urusan pilihan raya seperti writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, Daftar Pemilih Terakhir Diperakui yang akan digunakan dan persiapan lain.

-- BERNAMA