PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau diberi mandat memimpin dalam keadaan hutang negara lebih RM1 trilion.

Beliau berkata, perkara itu bukan fitnah sebaliknya angka diperoleh selepas meneliti setiap agensi yang mana berlaku kebocoran dan ketirisan.

Tegasnya, beliau bekerja keras, meneliti fail-fail yang ada dan kerana itulah ada beberapa projek ditangguhkan namun ia bukan bermaksud untuk mencerca mana-mana tokoh politik kerana beliau tidak menyebut sebarang nama.

“Tapi saya kata, sebagai contoh projek tebatan banjir…kerana banjir itu menyeksa rakyat dan yang jadi mangsa itu orang miskin dan majoriti yang miskin itu Melayu.

"Sebab itu kalau kita nak belanjakan kita kena teliti. Ini soal tadbir urus, mengurus negara itu harus dengan ketertiban, peraturan dan ke arah yang betul.

“Jadi bila saya lihat umpamanya dilulus dengan spontan projek tebatan banjir, syarikat-syarikat dipertikai, beberapa persoalan tidak dijawab, saya minta ditangguhkan dan diteliti semula.

"Esok saya ke Kementerian Kewangan, saya akan kaji, dan itu benar bukan fitnah. Memang diluluskan (projek tebatan banjir) tapi belum dilaksanakan kerana pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Seri Perdana di sini pada Ahad.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Luqman Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion dikaji semula.

Khamis lalu, bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan beliau tidak pernah menandatangani sebarang Surat Setuju Terima (SST) kepada mana-mana syarikat berhubung projek tebatan banjir.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan jumlah peruntukan RM7 bilion yang hendak dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan seperti diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini berikutan peruntukan asal adalah RM15 bilion.