Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata beliau akan menyerahkan jawatan kepada penggantinya selepas negara dan parti yang diterajuinya berada dalam keadaan baik dan cemerlang.

Janji berkenaan disuarakannya ketika menyampaikan amanat di hadapan lebih 10 ribu rakyat Kelantan yang menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini hari ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO, menjelaskan, sebelum beliau mengambil alih jawatan perdana menteri dari Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas perdana menteri itu menyatakan bahawa beliau akan menyerahkan kerajaan dan parti dalam keadaan baik.

Katanya kaedah yang sama akan digunakan beliau apabila sampai masanya nanti.

“Adakah perjuangan kita akan selesai selepas zaman saya? Tentu tidak, dan saya pun bila bersara nanti, saya nak serah parti dan kerajaan, saya akan beritahu pengganti bahawa tolong bawa parti dan negara, ke tahap kejayaan yang lebih hebat dari zaman saya, itu pesanan saya.

“Sebab itulah saya hargai Tun Abdullah, saya nak beritahu apa yang Pak Lah (Tun Abdullah) pesan pada saya, dia kata, Najib, I want you to take this country to greater heights then during my time,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tumpat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Batang, di sini hari ini.

Katanya lagi, perjuangan dalam UMNO memerlukan kesetiaan berpanjangan dengan memastikan parti terus kukuh dan berada dalam keadaan baik.

Kesetiaan terhadap parti yang sekian lama berjasa kepada bangsa dan agama juga katanya harus diperjuangkan tanpa ada prejudis atau meletakkan kepentingan diri melebihi kepentingan parti.

"Kita mesti mempertahankan parti, kukuhkan perjuangan. Sudah jadi pemimpin besar 22 tahun pun masih tak faham-faham ... nak jatuhkan parti.

"Don't cross the line (jangan melampaui batas). Parti adalah warisan kita. Guna kaedah yang betul ikut konsep parti dan Islam," katanya tanpa menamakan pemimpin berkenaan.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat Datuk Rosdi Ab Aziz.