KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan tindakan perundangan yang dikenakan terhadap beliau hari ini tidak menghalangnya menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Ogos.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Selayang di sini atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lepas.

Mahkamah telah menetapkan 4 Okt untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

"Alhamdulillah Oktober, ni dan (sempat) masuk PRN dulu...," katanya kepada pemberita selepas prosiding kedua kes itu.

Sanusi ditahan, apa untung apa yang rugi?

BACA: Sanusi ditahan polis 3 pagi

BACA: Sanusi mengaku tak salah tuduhan menghasut dalam ceramah politik

BACA: Sanusi mengaku tak salah terhadap satu lagi tuduhan menghasut

Muhammad Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh masing-masing membenarkan Muhammad Sanusi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan mengarahkannya tidak membuat sebarang komen berhubung kes sehingga kes berkenaan selesai serta menetapkan 4 Okt untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Muhammad Sanusi membayar wang jaminan berjumlah RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu selepas selesai prosiding berkenaan.

-- BERNAMA