Menurut Menteri Besar Kedah itu, ia adalah isu peribadi antara dirinya dan Ahli Parlimen Tambun berkenaan dan tidak perlu dilibatkan dengan perihal pentadbiran kerajaan negeri.
Tambah Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu, sekiranya Anwar memilih untuk menganaktirikan Kedah atas isu berkenaan, pemimpin berkenaan disifatkan sebagai 'koyak'.
"(Saya rasa) tidak (akan jejaskan hubungan Kedah dengan Pusat), kes saman itu (adalah antara) Anwar dan Muhammad Sanusi.
"Di sana kerajaan Malaysia (dan) di sini kerajaan negeri (saya rasa tidak akan renggang).
"Jadi, saya tidak meletakkan itu sebagai satu asbab untuk kita menjadi punca kepada pemisahan (atau renggangnya hubungan) itu. (Memang) tidak perlu. Itu hal saya dengan hal dia.
"Kalau dia (Perdana Menteri) ambil hal itu untuk anak tirikan kita, saya rasa dia koyak. Kalau panas tak apa, jangan koyak," katanya.
Muhammad Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir merasmikan Malam Anugerah Sastera Negeri Kedah di Dewan Ibu Pejabat MADA, di sini, semalam.
Pada Selasa, Perdana Menteri memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi berhubung ucapan pilihan raya dalam kempen ceramah Menteri Besar Kedah itu pada 13 Nov lalu yang didakwa berunsur fitnah.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) selaku plaintif memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Selasa melalui firma guamannya, SN Nair & Partners, dengan menamakan Muhammad Muhammad Sanusi sebagai defendan tunggal.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi dalam kenyataan balasnya menyatakan kesediaan berdepan Anwar di mahkamah dan menyifatkan apa yang disampaikan beliau adalah berkisarkan tentang sejarah.