"Biarlah saya terkorban, saya terima caci-maki dan pelbagai kata nista tetapi akhirnya rakyat (di Kemabong) dapat manfaat,".

Demikian penjelasan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar ketika ditanya mengenai tindakannya menyokong gabungan Tan Sri Musa Aman, baru-baru ini.

Kepada Astro AWANI, Jamawi menjelaskan mengenai tindakannya itu dilakukan demi pembangunan rakyat dan kawasan Kemabong.

"Di peringkat awal kenapa saya (menyertai) Parti Warisan Sabah adalah untuk bersama-sama kerajaan memerintah yang juga selari dengan Kerajaan Persekutuan ketika itu (Pakatan Harapan).

"Pada kali ini orang mempersoalkan kenapa saya kembali ke rumah lama (menyokong gabungan Musa) tetapi mereka tidak memikirkan rumah lama ini telah pun membentuk Kerajaan Persekutuan.

"Jadi, saya memikirkan keperluan rakyat itu lebih penting daripada kepentingan sendiri. Biarlah saya terkorban, saya terima caci-maki tetapi akhirnya rakyat menerima manfaat," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Pada 29 Julai lalu, Jamawi antara 13 ADUN yang menyokong Musa hingga mereka mendakwa mempunyai majoriti penuh untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.

Bagaimanapun, keesokan harinya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
BACA SEMUA BERHUBUNG POLITIK SABAH DI SINI


"SAYA TIDAK DIBELI"

Selain itu, Jamawi menegaskan, dia tidak 'dibeli' oleh pihak tertentu untuk menyokong gabungan Musa sebaliknya sokongan itu adalah mahu menjalin kerjasama baik dengan pemimpin Kerajaan Pusat.

Ditanya bagaimana hubungannya dengan Mohd Shafie memandangkan dia merupakan anak didik kepada Ahli Parlimen Semporna itu ketika di dalam UMNO, Jamawi berkata hubungan mereka masih lagi baik.



Sementara itu, ditanya juga sama ada beliau akan bertanding di kerusi Kemabong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 nanti, Jamawi menyerahkan semuanya kepada pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN).

"Saya menyerahkan hal pencalonan ini kepada pucuk pimpinan, bagi saya menjadi calon atau tidak itu adalah perkara kedua saya akan teruskan khidmat bakti kepada kawasan Kemabong," katanya yang enggan mendedahkan menyertai mana-mana parti.