MCA hari ini telah melabelkan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin sebagai seorang yang mempunyai pendapat berbahaya, tidak rasional dan tidak matang ekoran kenyataannya bahawa pemberi rasuah yang paling besar di negara ini ialah kaum Cina.

Pengerusi Biro Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen berkata menyalahkan sesuatu kaum berdasarkan pendapat seperti itu adalah salah.

“Tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi dan di dalam setiap kes rasuah, ada pemberi dan penerima.

“Bagaimana Zainuddin akan rasa sekiranya ada orang mendakwa bahawa masyarakat bukan Cina yang berkuasa di Malaysia adalah penerima rasuah yang paling tinggi di negara ini kerana mereka tiada wang?” katanya di dalam satu kenyataan media hari ini.

Chai berkata Zainuddin mungkin sedang cuba untuk melanjutkan kerjaya politiknya yang semakin pudar atau sedang mengejar publisiti murahan dengan menggambarkan dirinya sebagai pejuang hak-hak Melayu.

“Oleh itu, dia cuba memperkecilkan kaum lain sama seperti ISMA dan PERKASA. Perbuatan seperti ini tidak boleh diterima di dalam masyarakat kita yang berbilang kaum.

“Saya nasihatkan dia untuk berfikir panjang sebelum berkata apa-apa,” katanya.

Chai menambah bahawa perbuatan seperti ini seolah-olah memisahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini dan pada masa yang sama mengurangkan sokongan untuk Barisan Nasional.

Zainuddin semalam mendakwa bahawa krisis politik di Selangor yang berpunca dari perebutan jawatan menteri besar ketika ini adalah kerana Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat sebagai seorang yang tidak pandai berpolitik dan beliau telah mengecewakan pihak–pihak yang mahukan kuasa pentadbiran terutamanya berkaitan sumber kewangan negeri.

“Jawapannya mudah sahaja dan tidak perlu analisis mendalam. Pemberi rasuah yang paling besar di negara ini ialah orang Cina. Budaya mereka baik dalam MCA atau DAP,” katanya dalam zamkata.blogspot.com.

Katanya lagi bangsa Melayu tidak mempunyai wang yang banyak untuk merasuah dan mereka terlalu malu untuk melakukannya sesama sebangsa.

Selain itu, Zainuddin berkata ahli perniagaan dikalangan parti DAP mengharapkan peluang untuk membuat keuntungan dari Abdul Khalid namun telah terbukti beliau bukan seseorang yang mudah dibeli.

“Khalid Ibrahim seorang profesional yang sukar untuk dirasuah dan dipergunakan telah amat mengecewakan mereka,” tulisnya lagi.

Abdul Khalid juga menurutnya tidak pandai bermain politik dan kerana itu beliau tidak popular ketika bersama UMNO.

Zainuddin juga mendakwa tindakan DAP menyokong presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar kerana DAP berpendapat Khalid tidak dapat memberikan sumbangan kepada parti itu.