Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan rakyat Selangor menjadi mangsa kerakusan kuasa Pakatan Rakyat.

Pakatan tidak harus lari daripada menyelesaikan krisis politik dengan cara baik.

Muhyiddin memaklumkan setakat ini belum ada sebarang perbincangan mengenai langkah menyelesaikan kemelut di Selangor yang melibatkan pihak BN, termasuk dari pihak Abdul Khalid.

"Saya seperti yang lain-lain memantau keadaan yang berlaku di Selangor. Episod yang terkini menteri besarnya dipecat daripada partinya dan jika ikut nasihat pakar perlembagaan dia masih menteri besar lagi, daripada kerajaan pusat kita ingin melihat perkembangan seterusnya kerana ia agak luar biasa berlakunya, maaf cakap kerakusan hingga menjadikan kerajaan Selangor terumbang ambing. Diharap kerajaan atau pemimpin tidak lari daripada tanggungjawab kepada rakyat. Kita akan meninjau daripada fasa kepada setiap fasa."


Ditanya sama ada krisis kepimpinan negeri Selangor akan menjejaskan perjanjian antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, beliau berkata projek berkaitan air masih berjalan dan perlu melalui beberapa fasa lagi sebelum ia disiapkan.

Sementara itu di Kedah, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berharap BN tidak dikaitkan dengan siri konflik kuasa Pakatan Rakyat di Selangor.

Pada masa sama, tindakan PKR memecat Khalid dibimbangi merugikan rakyat.

“Rugi kerana kehilangan seorang yang begitu berwibawa seperti yang saya kata tadi walaupun di pihak lawan kami, tapi tak banyak yang boleh kami kritik beliau,” ulas Mukhriz.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berpendapat krisis kepimpinan politik Selangor menjejaskan imej negara dan kebajikan rakyat.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, kekalutan dalaman PKR mendorong persepsi negatif di kaca mata pelabur-pelabur asing yang ramai berpangkalan di Selangor.

Khairy yang juga ahli parlimen Rembau menegaskan kestabilan dan kekuatan pentadbiran negeri Selangor penting untuk ekonomi.


Ini kerana, ketidaktentuan politik itu dibimbangi menjejaskan pelbagai isu besar seperti masalah air dan pengurusan sampah yang perlu ditangani segera.