Rakyat Sarawak diharap memberi peluang kepada Sarawak United People's Party (SUPP) dalam Pilihan Raya Negeri yang akan datang, kata presidennya Senator Datuk Dr Sim Kui Hian.

Dr Sim berkata, demi kelangsungan perjuangan, SUPP telah melakukan beberapa transformasi bagi memberi khidmat kepada rakyat Sarawak.

Transformasi yang dilakukan SUPP itu diharap dapat memberi keyakinan kepada rakyat Sarawak, khususnya kepada golongan muda.

"Kami sudah melakukan beberapa transformasi dalam parti.

"Dalam kata lain, ini adalah 'wajah baharu' SUPP yang lebih inklusif, muda dan bersemangat tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada Astro AWANI .

Tambah beliau, di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, kerajaan negeri sudah sama ada memulakan atau sedang melaksanakan langkah transformasi yang memberi banyak manfaat kepada rakyat Sarawak.

"Oleh itu, SUPP berharap rakyat akan membantu kami dalam memberi mandat yang lebih besar kepada beliau (Adenan) dalam PRN (pilihan raya negeri) akan datang," katanya lagi.

Ditanya mengenai kemungkinan bila PRN akan diadakan, Dr Sim berkata beliau ada berbincang mengenainya bersama Adenan.

"Keputusan masih belum dicapai, tetapi yang pasti, ia akan diadakan sebelum Jun tahun depan," ujar beliau.

Berhubung bilangan kerusi SUPP yang mungkin terpaksa 'dikongsi' bersama Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang diumumkan berpihak kepada Barisan Nasional, Dr Sim berkata SUPP tidak akan berkongsi kerusi kerana 19 kerusi yang diagihkan adalah hak parti.

"Selain itu, kami juga inginkan bahagian kami dalam 11 kerusi Dewan Undangan Negeri baru yang bakal ditambah," katanya.

Sebelum ini DUN Sarawak sudah meluluskan penambahan 11 kerusi kepada 71 kerusi yang sedia ada.

Ini akan menjadikan jumlah kerusi DUN Sarawak kepada 82 kerusi.