Mahkamah Thailand arah MFP dibubar, Pita Limjaroenrat dilarang sertai politik 10 tahun
Pita Limjaroenrat dilarang menyertai politik selama 10 tahun dan partinya, Move Forward Party (MFP) yang menang besar pada Pilihan Raya Umum dibubarkan.
Agensi
Wed Aug 07 2024
Populariti pemimpin prodemokrasi berusia 43 tahun itu melonjak menjelang pilihan raya itu sehingga membawa kepada kemenangan MFP. - Gambar/ Reuters
MAHKAMAH Perlembagaan di Bangkok membuat keputusan ahli politik popular di Thailand, Pita Limjaroenrat dilarang menyertai politik selama 10 tahun dan partinya, Move Forward Party (MFP) yang menang besar pada Pilihan Raya Umum dibubarkan.
Keputusan sebulat suara itu dibuat mahkamah susulan kontroversi dicetuskan MFP berhubung rancangan mereka untuk melakukan pembaharuan terhadap undang-undang lese-majeste.
"Larangan sama dikenakan terhadap lembaga eksekutif MFP," ujar Hakim Punya Udchachon pada Rabu.
Sebelum ini, populariti pemimpin prodemokrasi berusia 43 tahun itu melonjak menjelang pilihan raya itu sehingga membawa kepada kemenangan MFP.
Bagaimanapun, cubaan beliau untuk menjadi Perdana Menteri telah disekat Senat yang dilantik junta tentera.
Karier politiknya semakin goyah pada Mac lalu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengemukakan permohonan untuk membubarkan MFP meskipun parti itu meraih sokongan meluas.
Ia berpunca daripada ikrar parti terbabit yang mahu meminda undang-undang tersebut yang didakwa sebagai cubaan untuk menggulingkan monarki.