KUALA LUMPUR: Malaysia adalah sebuah negara demokratik, dan sesiapa sahaja boleh bertanding di Ampang, kata penyandang kerusi Parlimen itu Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau, yang juga Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) berkata, beliau sentiasa mengalu-alukan mana-mana pencabar di kawasan yang beliau wakili sejak parlimen itu pertama kali wujud pada 2008.

Zuraida berkata, beliau yakin dapat mempertahankan kerusi itu untuk penggal seterusnya, biarpun kali ini bertanding di bawah parti baharu.

“Saya punya sikap adalah, this is a democratic country, anybody can come to Ampang and contest. They are most welcomed, anda (media) pun dialu-alukan untuk bertanding di Ampang.

“Insya Allah saya akan pertahankan kerusi Parlimen Ampang,” katanya lagi sekiranya beliau akan mempertahankan kerusi tersebut.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menyempurnakan Program Jom Kenali Agrikomoditi di sebuah hotel di Ampang, pada Ahad.

Baru-baru ini timbul desas-desas bahawa Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, akan mencabar Zuraida di Ampang, manakala kerusi Permatang Pauh berkemungkinan besar diletakkan Ketua Wanita parti itu, Fadhlina Sidek.

Namun, Pengerusi Pakatan Harapan, yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan berkemungkinan besar anaknya itu akan kekal di Permatang Pauh.


Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!

Pada PRU lepas, Zuraida, yang merupakan bekas Naib Presiden PKR, bertanding di bawah bendera parti itu, dan berjaya mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 41,956 undi dalam saingan empat penjuru.

Dalam pertandingan itu, beliau menewaskan Leong Kim Soon dari Barisan Nasional, Nurul Islam Mohammed Yusoff (Pas), dan Tan Hua Meng (Parti Rakyat Malaysia).

Namun Zuraida pada 2020 bertindak keluar parti dan bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada awal bulan ini, Zuraida diangkat menjadi Presiden Parti Bangsa Malaysia, menggantikan Datuk Larry Sng Wei Shein.

Mengulas mengenai permohonan parti itu untuk bersama-sama dengan Barisan Nasional, Zuraida berkata, perkara itu hanya akan diketahui sewaktu hari penamaan calon nanti, iaitu pada 5 Nov nanti.

“Mengenai kerjasama dengan BN – kita tunggu waktu hari penamaan calon. Kalau Friends of BN kita kena friend-friend now lah, cannot friend later. Friend later dah jadi cerita lain dah. Jadi kena berkawan dari sekarang,” katanya lagi.