Bercakap dalam Majlis Pengumuman Calon PKR di Ampang Jaya malam ini, Anwar berkata, barisan calon yang tersenarai merupakan adunan pejuang yang baharu dan lama.
Katanya lagi, pengorbanan perlu dilakukan dan mana-mana individu yang tidak terpilih, diharap dapat terus berpegang kepada ikrar mereka untuk membela nasib rakyat.
"(Jumlah calon yang layak) ramai, dan ada kalanya mungkin lebih layak. Dalam proses itu terpaksa kita gugurkan beberapa (nama) yang dah beri sumbangan, tapi demikianlah hukum alam dan perjuangan. Mesti ada peralihan kuasa, regenerasi, tidak boleh orang yang sama kekal sampai bila-bila.
“Harap rakan-rakan bersyukur dan bertekad lebih kuat, yang tidak mendapat tempat, ingat sumpah keramat mereka. Mereka berjuang bukan kerana pendapatan atau jadi calon, tapi bersumpah bela nasib rakyat seluruhnya. Itu peringatan yang baik supaya kita insaf. Dan kita semua belajar dari pengalaman,” katanya lagi.
BACA: PRU15: PKR umum Maszlee Malik pertahan Simpang Renggam, Wan Azizah ke Bandar Tun Razak
BACA: PRU15: Amirudin Shari sah bertanding di Gombak
Selain Anwar yang akan bertanding di Tambun, Timbalan Presiden Rafizi Ramli, yang juga Pengarah Pilihan Raya Parti untuk PRU15, akan kembali ke Parlimen Pandan, manakala Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan bertukar ke Bandar Tun Razak.
Sementara itu, tiga Naib Presiden termasuk Nurul Izzah yang disebut-sebut akan ke Ampang, akan kekal di Permatang Pauh, manakala Nik Nazmi Nik Ahmad dan Chang Lih Kang, masing-masing akan pertahankan Setiawangsa dan Tanjung Malim.
Turut menarik perhatian ialah dua lagi Naib Presiden iaitu Datuk Seri Amirudin Shari yang akan ditempatkan di Gombak, dan Datuk Seri Aminuddin Harun pula akan mengambil alih tempat Anwar di Port Dickson.
Dalam pada itu Anwar mengingatkan ahli parti bahawa menjadi wakil rakyat bukanlah tiket untuk mengaut keuntungan atau kekayaan.
“20 tahun golongan reformis berjuang, macam tu juga kehidupan dia. Ini ada yang jaga ekonomi, ada yang jadi menteri perumahan tapi tak naik rumah untuk rakyat yang memerlukan, kemudian buat keputusan (lompat parti) semata-mata nak pertahankan kuasa dan kedudukan.
“Mana dia sumbangan mereka kepada rakyat. Sebab itu saya sebut, orang Ampang, orang Gombak, Bandar Tun Razak dan seluruh wilayah dan Selangor, dan seluruh negeri Malaysia.
“Pertama kita ajar pengkhianat, humbankan mereka kali ini. Kedua, tunjukkan semangat dan daya juang rakyat yang akan mengatasi, dengan izin Allah, semangat tanda juang kita, boleh mengubah peta politik negara ini,” katanya lagi.