Kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, mereka tekad untuk menutup ruang yang membenarkan amalan pendakwaan bermotifkan politik berlaku lagi di negara ini.
Hal ini katanya yang menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik apabila berlaku kegiatan lompat-melompat parti dan akhirnya rakyat yang mendapat kesan buruknya apabila tumpuan tidak lagi dihalakan kepada mentadbir negara.
“Peguam Negara boleh kekal sebagai penasihat kepada kerajaan, kalau nak lantik orang yang ada kecenderungan politik pun tak ada masalah tapi kuasa pendakwaan itu mesti bebas tak ada campur tangan politik.
“Justeru tak ada sebarang bentuk pendakwaan-pendakwaan yang dikaitkan dengan politik dan paling besar kesannya kepada negara sepanjang empat tahun lebih ni adalah apabila berlakunya pendakwaan dendam dan benci.
“Kalau BN menang, jangan sesekali politik dendam ini terus berakar umbi, kita kena letakkan titik noktahnya,” tegasnya dalam program Agenda AWANI pada Khamis.
Beliau mengakui UMNO bukanlah parti yang sempurna dalam dunia yang tidak sempurna, namun mereka kali ini tekad untuk memastikan korupsi ke tahap yang seminimum mungkin.
Maka ujarnya, janganlah kerana beberapa kesalahan yang telah dilakukan pemimpin UMNO, rakyat tidak dapat melihat lebih banyak kebaikan yang dibawa parti itu yang telah berjasa sejak berdekad lamanya.
“Dalam Islam pun bila kita membicarakan soal manfaat dan mudarat, kita sentiasa kena ada perimbangan.
“Tak semuanya berada dalam keadaan sempurna dan realitinya semua nampak cantik, jadi macam mana kita nak pastikan maslahah itu lebih besar daripada kemudaratan yang harus dikurangkan.”