Setiausaha Agung Amanah Datuk Mohd Hatta Md Ramli dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu sebagai tanda kesepakatan serta memperkukuh kerajaan perpaduan di peringkat negeri Pahang dan nasional.
"Amanah melihat keperluan untuk mewujudkan perpaduan erat komponen kerajaan negeri dalam menentang calon Perikatan Nasional (PN). Oleh demikian, Amanah yang juga sebahagian daripada parti komponen PH mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada calon BN," katanya.
Bagi memenangkan calon mewakili kerajaan perpaduan, jentera pilihan raya PH akan bergerak bersama dalam setiap kempen BN pada pilihan raya tersebut, katanya.
PRU15 DUN Tioman berlangsung pada 7 Dis selepas ditangguhkan berikutan kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.
Dalam pilihan raya itu, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) sepatutnya berhadapan saingan lima penjuru melibatkan calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Nor Idayu Hashim (PN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).
Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Sebelum ini, Mohd Fadzli dilaporkan bersedia memberi laluan kepada calon BN jika diarahkan pucuk pimpinan parti susulan kerjasama antara BN dan PH membentuk kerajaan negeri Pahang, selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah selepas PRU15.
Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail semalam turut menyifatkan langkah memberi laluan itu sebagai perkembangan baik, namun mengakui sehingga kini tiada perbincangan rasmi diadakan bersama PH berhubung perkara tersebut.
-- BERNAMA