Ujarnya, meskipun mendapat respon positif dari rakyat di kawasan itu, namun beliau terus bekerja keras demi memastikan setiap pengundi berpihak kepada PH.
"Kalau kita lihat kempen hari pertama sehingga sekarang, kita terima respons sangat baik dan positif daripada masyarakat Cina, Melayu dan India.
"Namun begitu kita tak boleh begitu selesa, sebab persaingan sangat sengit di antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) serta calon Bebas.
"Kita tetap bekerja keras sehingga 18 November ini, kalau boleh saya jumpa seramai mungkin pengundi di Bentong ini untuk meyakinkan mereka beri undi kepada PH," katanya.
Tambah Young Syefura, pelbagai pembaharuan ingin dibawa di kawasan itu sekiranya diberi mandat, termasuk menyegerakan projek tebatan banjir demi mengelakkan kejadian bencana itu berulang.
"Antara isu kerap dibangkitkan (ialah) isu banjir, jadi isu tebatan banjir dan sebagainya, kita perlu tekankan dan segerakan selepas PRU.
"Isu kedua ialah dari segi peluang pekerjaaan, serta isu perumahan melibatkan orang muda, kerana apabila saya pergi walkabout jumpa masyarakat, bila tanya apa masalah di sini sering (mereka) kata anak muda tidak cukup rumah dan sewa mahal," jelasnya.
Justeru, ujarnya pelbagai usaha akan dilakukan demi membela rakyat di kawasan Parlimen itu.
Young berdepan empat lagi saingannya bagi kerusi Parlimen itu, antaranya Tan Sri Liow Tiong Lai dari Barisan Nasional (BN), Datuk Roslan Hassan dari Perikatan Nasional (PN), Wong Tack calon Bebas yang juga penyandang kerusi itu serta Achik Khalil, juga calon Bebas.
Pada PRU14 lalu, Wong Tack dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 2,032 undi menewaskan dua lagi pencabarnya, Tiong Lai dan N. Balasubramaniam dari Pas.