Tuduhan yang dilemparkan kepada BN, tegas bekas Setiausaha Agung parti itu, Tan Sri Annuar Musa adalah tidak berasas.
Hakikatnya, kata Annuar, kempen PRU15 oleh BN dilihat kurang menyerlah berbanding pesaing lain adalah disebabkan kekurangan dana.
“Saya tidak rasa masalah (kekurangan dana untuk kempen PRU15) ini hanya di Tambun. Perihal masalah dana ini adalah disebabkan UMNO bukan lagi parti yang kaya seperti sebelum ini.
“Saya faham sekiranya ada calon BN yang merasakan perkara berkenaan yang berhadapan dengan masalah kekurangan dana.
“Tetapi ia bukanlah alasan Datuk Seri Zahid (Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sebagai mahu BN kalah di tambun atau beri laluan mudah kepada Anwar. Ia tuduhan yang tidak berasas,” kata Annuar.
Penyandang kerusi Parlimen Ketereh itu berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri program Perjumpaan Santai di Pejabat BN Tambun di sini, pada Selasa.
Annuar terdahulu ditanya pemberita mengenai ketiadaan nama-nama besar bagi membantu gerak kerja kempen BN di Tambun pada PRU15 setakat ini.
Dalam perkembangan sama, Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, perkara itu juga berlaku disebabkan senario PRU15 yang berbeza dengan mana-mana siri pilihan raya yang pernah diadakan sebelum ini.
Kata beliau, ketika ini, semua pihak termasuk nama-nama besar seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang berusaha untuk memenangkan kerusi yang ditandinginya di Bera.
“Ketika PRU15 ini semua menghadapi persaingan sengit di kawasan-kawasan yang mereka tandingi. Malah Perdana Menteri pun perlu meluangkan banyak masa di Bera. Jadi orang seperti saya (yang tidak dicalonkan) boleh datang membantu jentera.
“Akan tetapi, sekali lagi untuk mengatakan ia sebagai mahu memberi jalan mudah kepada Anwar di Tambun, ia adalah tuduhan tidak berasas kepada Ahmad Zahid,” katanya.
Pada PRU15, Parlimen Tambun menyaksikan persaingan empat penjuru antara BN-UMNO yang diwakili Datuk Aminuddin Md. Hanafiah, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-PKR), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (PN-Bersatu) serta Abdul Rahim Tahir (GTA-Pejuang).