KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) hari ini menerima kunjungan daripada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan Persekutuan dijangka dapat dibentuk dalam masa terdekat susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung semalam.

Selain Premier Sarawak, turut hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

"Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen Bebas.

"InsyaAllah, Kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Keputusan PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan memperoleh 81 kerusi; Perikatan Nasional (73), dan Barisan Nasional (30).

Sementara di sebelah Borneo, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Abang Johari mendapat 22 kerusi diikuti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memperoleh enam kerusi dan Parti Warisan (tiga kerusi).

Dalam perkembangan lain, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dalam sidang media awal pagi ini berkata, GRS dan GPS ketika ini memuktamadkan untuk bersama-sama menyokong kerajaan yang akan memberi kestabilan kepada Sabah dan Sarawak.

Begitu pun, Hajiji berkata, GRS dan GPS masih belum memutuskan untuk menyokong mana-mana parti untuk menjalin kerjasama.