Rata-rata mereka merasakan sudah tiba masanya untuk melakukan pemulihan, selepas terkesan dengan pandemik COVID-19.
Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran berkata, di Sungai Siput sendiri, sokongan pengundi India dianggarkan meningkat antara 68 dan 75 peratus.
"Rasa saya terhadap situasi pengundi di Sungai Siput ini mereka nak juga perubahan setelah 14 tahun mereka memberi peluang kepada parti-parti lain untuk menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput.
"Mereka mengharapkan bahawa masa pemulihan dah sampai. Pemulihan untuk kawasan Sungai Siput untuk membawa perubahan dari segi pendidikan, ekonomi, pembangunan dan juga kesejahteraan kepada orang tempatan," katanya.
Beliau ditemui selepas program bersama pengundi di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu di Sungai Siput, malam tadi.
Menurutnya, tiada isu nasional yang dibangkitkan pengundi, sebaliknya mereka memikirkan siapakah yang boleh membawa pemulihan dan kesejahteraan kepada masyarakat tempatan.
Dalam pada itu, katanya, secara umum, sokongan terhadap calon-calon MIC seperti di Tapah, Segamat, Kuala Langat dan Padang Serai juga menunjukkan peningkatan.
Bagaimanapun, ujarnya, terdapat juga kawasan-kawasan yang berlaku penurunan tetapi belum sampai ke tahap mencemaskan.
Sehubungan itu, katanya, MIC akan terus memantau bagi mendapatkan angka yang lebih realistik, seterusnya mengambil langkah untuk meningkatkannya.