KUALA LUMPUR: Puteri MIC Kebangsaan meluahkan kekecewaan dengan insiden buli siber sehingga menyebabkan beberapa pempengaruh wanita didakwa membunuh diri baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Kekecewaan dan Kesedaran: Puteri MIC Kebangsaan meluahkan kekecewaan terhadap insiden buli siber yang menyebabkan beberapa pempengaruh wanita didakwa membunuh diri. Mereka menegaskan keperluan mendesak untuk menangani ancaman dalam talian yang semakin meningkat.
  • Tindakan dan Sokongan: Puteri MIC mengutuk segala bentuk buli dan berazam memerangi isu ini secara langsung. Mereka menggesa masyarakat, kerajaan, dan pihak berkepentingan untuk mencipta persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan menentang buli siber.
  • Perhatian Kabinet dan Tindakan Lanjut: Isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet untuk mencari penyelesaian terbaik, termasuk aspek perundangan dan penguatkuasaan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah meminta pembentangan ini sebagai respons terhadap insiden melibatkan seorang pempengaruh di aplikasi TikTok yang didakwa membunuh diri akibat tertekan oleh buli siber.


Menerusi satu kenyataan pada Isnin, sayap kanan MIC itu menegaskan sudah wujud keperluan mendesak untuk menangani ancaman dalam talian yang kian meningkat.

Menurut kenyataan itu, pemergian mereka pada usia muda adalah peringatan jelas berkaitan bahaya hasil daripada tindakan buli siber yang tidak dikawal.

“Sebagai wakil masyarakat India, Puteri MIC mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk buli.

“Kami berdiri, bersatu dalam kesedihan dan berazam untuk memerangi isu ini secara langsung,” menurut kenyataan tersebut.


Dalam kenyataan sama, Puteri MIC turut menggesa masyarakat mengambil sikap menentang buli siber.

“Kami menyeru kepada kerajaan, penguat kuasa undang-undang, syarikat media sosial, dan semua pihak berkepentingan untuk bekerjasama dalam mencipta persekitaran dalam talian yang lebih selamat,” ujarnya.

Puteri MIC juga komited untuk menjadi sistem sokongan yang tidak berbelah bahagi dan menganjurkan program bertujuan untuk memerangi peningkatan kes buli, dengan penekanan khusus terhadap ancaman buli siber.

Media sebelum ini melaporkan seorang pempengaruh TikTok didakwa membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber, di Gombak Setia, Kuala Lumpur.

Mayat pempengaruh wanita berumur 29 itu ditemui di rumahnya kira-kira pukul 11 pagi, Jumaat lepas.

Astro AWANI pada Ahad melaporkan, isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat depan bagi mencari penyelesaian terbaik termasuk aspek perundangan dan penguatkuasaan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pembentangan itu diminta sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, pembentangan itu juga akan menyentuh laporan berhubung insiden melibatkan seorang pempengaruh di aplikasi TikTok yang didakwa membunuh diri kerana tertekan akibat buli siber.

Talian bantuan Befrienders