Sehubungan itu, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mandat perlu terus diberikan rakyat kepada Ongkili bagi memastikan beliau dapat memperjuangkan hak Sabah yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita berjuang... oleh itu saya perlu Datuk Seri Maximus di sini jadi ahli parlimen untuk membantu saya supaya kita ada suatu suara yang kuat dari Sabah untuk tuntut hak-hak kita semasa kita menubuhkan Malaysia.
"Dia (Ongkili) antara pemimpin yang lantang mempertahankan hak Sabah dalam Kerajaan Pusat. Kami selalu mengadakan mesyuarat MA63 yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri. Saya dan Premier Sarawak," katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Kirangawan, Kota Marudu.
GRS yang terdiri daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP), Star dan Usno bersama Barisan Nasional berikrar memberi yang terbaik untuk membawa pembangunan kepada negeri Sabah.
"Atas sebab itu kita memerlukan kerajaan yang kuat dan stabil bukan seperti kerajaan negeri ditadbir Warisan sebelum ini," katanya.
Untuk rekod, Ongkili pada PRU15 berhadapan dengan persaingan 6 penjuru melibatkan Datuk Wetrom Bahanda (Parti KDM), Shahrizal Denci (MUDA), Datuk Jilid Kuminding (Warisan), Mohd Azmie Zulkiflee (Pejuang), dan Norman Tulang (Bebas).