POKOK SENA: Pakatan Harapan (PH) Kedah menyasarkan untuk menyapu bersih kesemua 15 kerusi Parlimen di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 19 November depan.

Keyakinan itu disuarakan Pengerusi PH Negeri, Datuk Mahfuz Omar berdasarkan momentum sokongan rakyat ketika ini terhadap selain kemenangan dua pertiga gabungan berkenaan di negeri Jelapang Padi itu dalam pilihan raya lepas.

Sehubungan itu, PH Kedah, kata beliau, sudah menyusun strategi termasuk mempertahankan kerusi sedia ada.

"(Kita) akan pertahankan (kerusi sedia ada)… kita (juga) akan berusaha untuk pastikan 10 kerusi yang kita menang, kita (masih) menang dan kemudian kita akan pastikan supaya ada pertambahan (di) kerusi-kerusi yang telah dikenal pasti,

"(Apa) yang penting, kita (telah) gerakkan usaha untuk pastikan 15 kerusi adalah milik Pakatan Harapan,” tegas Mahfuz kepada wartawan selepas menyampaikan bantuan peringkat Parlimen Pokok Sena di Kampung Aman, di sini, pada Rabu.

Dalam masa sama, Mahfuz yang juga penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena memaklumkan cita-cita PH Kedah ialah untuk meraih kemenangan yang besar di negeri itu.

“Kita (PH Kedah) nak menang, bukan nak menang sikit-sikit, tetapi 15 kerusi (di Kedah, walaupun (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi kata Barisan Nasional (BN) yakin menang 10 (kerusi Parlimen)… maknanya mereka (BN) tidak yakin lima kerusi (lagi) akan menang, jadi kami akan gerakkan usaha untuk memenangkan calon Pakatan Harapan di 15 kerusi Parlimen," jelas Mahfuz lagi.

Baru-baru ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, gabungan berkenaan menyasarkan sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen di negeri Kedah untuk dimenangi pada PRU15.

Presiden UMNO itu optimis jumlah itu mampu dicapai berdasarkan sokongan rakyat kepada BN ketika ini selain kedudukan Kedah sebagai 'swing-state' yang sentiasa mempunyai kerajaan dari gabungan parti yang berbeza.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam reaksinya berkata, sasaran BN untuk menang di 10 kerusi Parlimen di negeri itu dalam PRU15 agak sukar dan mustahil untuk dicapai.