Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, slogan yang dimomokkan kepada pengundi seperti "Ini kalilah" dan "Jom Ubah" ternyata hanya retorik semata-mata serta tidak dapat diterjemah oleh wakil rakyat parti kepada perkhidmatan yang berkualiti dan sempurna untuk rakyat.
"Sepanjang tempoh pemerintahan PH selama 22 bulan, banyak janji-janji yang tidak terlaksana selain manifesto tidak ditunaikan serta diangggap 'bukan kitab suci'.
"Janji bulan dan bintang seperti berjanji untuk menurunkan harga minyak, menghapuskan tol, PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan sebagainya hanya tinggal janji," kata Abdul Rahman.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Salam Desa@KPLB di Dewan Orang Ramai Kampung Penjom, di sini, pada Rabu.
Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, parti Perikatan Nasional (PN) pula semasa pemerintahan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin selama 17 bulan didakwa hanya mampu mengisytiharkan darurat serta menggunakan perbelanjaan besar untuk negara tanpa ada proses semak dan imbang di Parlimen.
"Setelah kerajaan diambil alih oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang datang dari parti Barisan Nasional (BN), barulah situasi negara ditukar dari pandemik kepada endemik dan ekonomi kembali pulih termasuk pelabur-pelabur luar kembali melabur dalam negara.
"Maknanya, kerajaan BN terbukti mampu untuk memerintah negara serta dapat memastikan negara kembali bangkit dan pulih, seterusnya mampu memastikan kemakmuran untuk rakyat Malaysia," katanya lagi.
Abdul Rahman yang juga calon BN Parlimen Lipis, menambah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah memperuntukkan sejumlah RM7.33 juta untuk Elaun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Pahang pada tahun 2022 bagi memastikan fungsi dan kelancaran operasi pentadbiran di peringkat kampung dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.
Menurutnya, peruntukan yang disediakan ini membuktikan kemampuan kerajaan dalam mengurus hasil negara bagi tujuan kebajikan khususnya melibatkan JPKK yang dilantik dalam kalangan penduduk untuk mentadbir sesebuah kampung.
“Pada masa ini Pengerusi dan Setiausaha JPKK masing-masing menerima RM500 dan RM300 sebulan untuk elaun, manakala Kerajaan Negeri Pahang pula menambah RM250 sebulan untuk Elaun Pengerusi JPKK dengan jumlah keseluruhan JPKK Negeri Pahang adalah seramai 6,974 orang.
"Selain itu, JPKK turut diberi imbuhan lain seperti Elaun Pengendalian Mesyuarat dan Elaun Kehadiran Mesyuarat bagi memastikan fungsi JPKK dilaksanakan dengan sempurna dan berkesan”, jelasnya.