MUAR: Penyandang Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan pihak yang membuat tawaran menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai 'gula-gula pilihan raya' tidak bertanggungjawab.

Syed Saddiq yang bertanding untuk mempertahankan Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), berkata, perkara itu adalah membimbangkan kerana wang KWSP adalah milik rakyat untuk masa depan.

"Duit hasil titik peluh rakyat yang bekerja untuk menampung diri dan keluarga. Mana-mana pihak yang menggunakan duit simpanan KWSP sebagai 'gula-gula' memang tidak berfikir jangka masa panjang.

"Mereka hanya akan berjaya melepaskan diri daripada tangani dan selesaikan isu pokok dan gunakan jalan pintas dengan membenarkan pengeluaran KWSP tanpa sebarang plan yang konklusif untuk bantu rakyat.

"Memang lah 'sedap' dalam jangka masa pendek, tetapi takkanlah tidak terfikir akan impak jangka masa yang panjang kepada Rakyat?

"Saya tolak sekeras-kerasnya penggunaan duit KWSP sebagai janji pilihan raya," katanya menerusi satu kenyataan di media sosialnya di sini, hari ini.

Jelas Syed Saddiq, beliau sentiasa konsisten daripada dahulu menyatakan bahawa pengeluaran KWSP ini bukanlah bantuan daripada kerajaan.

Katanya peratusan penyimpanan KWSP ketika ini adalah pada kadar yang sangat membimbangkan.

"Sebelum ini pihak KWSP mendedahkan sebanyak 52% ahli KWSP mempunyai kurang daripada RM 10,000 dan 27% daripada mereka pula hanya mempunyai RM 1,000.

"Data ini adalah selepas pihak kerajaan membenarkan pengeluaran one-off daripada akaun KWSP sejak pandemik lalu. Dari pengeluaran i-Lestari, i-Sinar hinggalah ke i-Citra.

"Sedangkan pihak KWSP sendiri mengakui untuk bersara dalam tempoh 20-30 tahun, rakyat memerlukan simpanan sekurang-kurangnya RM 900,000 ke RM 1 juta.

"Semakin banyak pengeluaran yang dibuat, semakin bertambah tahun yang diperlukan untuk mereka ini bekerja bagi untuk duit persaraan mereka," katanya.

[LAPOR LANGSUNG] Gelanggang PRU15 sudah dibuka, calon penuh ada di sini

RUJUK SENARAI CALON PRU15 DI SINI

Malam tadi, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan akan mempertimbangkan pelaksanaan pengeluaran KWSP bersasar sekiranya diberikan mandat dalam PRU15.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya akan membuat pertimbangan mengenai perkara itu walaupun ia tiada dalam manifesto yang diumumkan.

Muhyiddin dilaporkan berkata demikian ketika sesi Townhall dalam Majlis Pelancaran Tawaran PN BEST sempena PRU-15 di sebuah hotel di Shah Alam.