KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) pada Selasa mengumumkan calon-calon yang akan bertanding di semua kerusi Parlimen di negara ini kecuali 25 kerusi di Parlimen Sabah.

Pengerusi BN, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, penentuan calon mengambil kira kepentingan mengembalikan agenda mensejahterakan rakyat lebih tinggi berbanding kepentingan individu dan kepartian.

Menurutnya, di sebalik menampil wajah-wajah segar, BN tidak meninggalkan pemimpin atau calon berpengalaman untuk menggalan amanah sebagai calon BN di peringkat Parlimen.

"BN akan menampilkan lebih 85 peratus calon-calon yang mempunyai kelayakan akademik di peringkat pengajian tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu.

"Malah kepakaran calon-calon yang diketengahkan adalah gandingan muka baharu dan berpengalaman selain mempunyai rekod berbakti kepada rakyat serta kesegaran idea dalam kestabilan dan kemakmuran negara," katanya.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN

PRU15: Senarai calon BN diumum Zahid Hamidi

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Turut hadir, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan kepimpinan BN.

Ahmad Zahid yang akan mempertahankan Parlimen Bagan Datuk berkata, calon yang diumumkan itu bakal menggalas amanah besar bagi membawa aspirasi rakyat sekali gus mengembalikan kegemilangan negara ini.

Katanya, amanah dan tanggungjawab kepada setiap calon iotu bukan hanya akan dihakimi oleh rakyat khususnya para pengundi tetapi akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT nanti.