Bilangan itu mengatasi jumlah calon Bebas yang bertanding kerusi Parlimen pada PRU14 iaitu seramai 24 orang dan 79 orang pada PRU13.
Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk aktivis dan profesional terkenal serta ahli politik berpengalaman yang memilih untuk bertanding atas tiket Bebas selepas tidak dicalonkan oleh parti politik masing-masing seperti Chua Tian Chang @ Tian Chua di kerusi Parlimen Batu dan Datuk Zahidi Zainul Abidin di Padang Besar.
Penganalisis politik Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata, nama-nama besar seperti Wong Tack yang bertanding di kerusi Parlimen Bentong, peguam Siti Zabedah Kasim atau Siti Kassim dan pempengaruh media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharudin atau dikenali dengan gelaran Cleopatra, masing-masing mencuba nasib di Parlimen Batu, tidak akan berupaya memberi impak besar dalam pilihan raya.
"Hakikatnya, dalam senario politik Malaysia, parti lazimnya menjadi faktor utama yang mempengaruhi keputusan pengundi manakala calon memainkan peranan kedua," kata Azmi kepada Bernama.
Azmi, bagaimanapun, berkata, calon Bebas di Sabah dan Sarawak mungkin menjadi pilihan kerana perkhidmatan yang diperlukan oleh penduduk tempatan adalah berbeza berbanding manfaat yang diinginkan oleh pengundi di Semenanjung.
Sebagai contoh, penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri Krian, Datuk Ali Biju yang bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada akhir tahun lepas, masih berjaya meraih kira-kira 2,000 undi.
Menyifatkannya sebagai petanda demokrasi yang baik di negara ini, Azmi berkata, calon Bebas mampu "mewarna-warnikan" persaingan di kerusi masing-masing.
"Pastinya, pecahan undi akan berlaku dalam kalangan calon yang dinamakan, namun, calon Bebas tidak akan menjadi faktor utama kepada penubuhan kerajaan yang lebih stabil," katanya.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara, Prof Datuk Dr Ismail Sualman pula berkata, berdasarkan beberapa tinjauan, calon Bebas "kurang menjadi tarikan" dalam kalangan pengundi kerana mereka tidak berupaya membawa perubahan sebaliknya hanya melepaskan kemarahan mereka kepada kerajaan semasa.
"Calon Bebas boleh (menang) sekiranya mempunyai jentera yang kukuh di belakang mereka," katanya ketika dihubungi. - BERNAMA