ALOR SETAR: Pas Pusat mengesahkan belum menerima sebarang pemakluman daripada Pas dan Perikatan Nasional (PN) Perlis yang mana telah mengemukakan nama penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan didalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklum, pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana pihak yang ingin bersama PN yang membawa prinsip Bersih dan Stabil.

Ini kerana menurutnya, politik adalah dinamik dan apa jua kemungkinan boleh berlaku.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa keputusan akhir berhubung perkara berkenaan hanya akan diketahui pada hari penamaan calon, Sabtu depan.

"Politik ini bersifat dinamik, dan kita mengalukan semua, calon yang boleh menang, dan dia boleh berubah, jadi ketentuannya adalah pada hari penamaan calon, (nama Datuk Seri Shahidan, di pihak Pas Pusat) belum dapat, (saya tahu selepas) baca berita sahaja," katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional Kedah di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Rabu.

Dalam perkembangan berasingan, beliau mendedahkan bahawa dirinya telah dimaklumkan mengenai kewujudan satu gerakan dalam kalangan pimpinan Barisan Nasional (BN) dalam memastikan parti berkenaan memenangi kerusi yang lebih kecil di dalam PRU15.

Menurutnya, ia adalah bagi memastikan laluan untuk Pakatan Harapan (PH) menang lebih banyak kerusi sekaligus memudahkan proses penggabungan PH-BN selepas pilihanraya akan datang.

Penyandang kerusi Parlimen Marang itu turut mendakwa bahawa tujuan akhir pelan berkenaan adalah bagi memastikan mereka yang terlibat dengan pendakwaan kes mahkamah dapat dibebaskan.

"Kita difahamkan ada kalangan pimpinan UMNO yang mahu mengecilkan kemenangan UMNO untuk bekerjasama dengan PH, (ini adalah) satu strategi untuk lepaskan diri (daripada pendakwaan di mahkamah)," jelasnya lagi.

Pada Rabu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Mohd Shukri Ramli mengesahkan bahawa telah mengemukakan nama penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk bertanding mewakili parti berkenaaan di Parlimen Arau di dalam PRU15 kepada kepimpinan Pas dan PN di peringkat Pusat.

Menurutnya, pemilihan Ketua Bahagian UMNO Arau itu dibuat selepas beberapa perbincangan termasuk dengan Shahidan selepas nama pemimpin itu digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional pada Selasa.