KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) mengingatkan seluruh parti politik menerima apa sahaja keputusan serta mandat baharu yang rakyat berikan esok.

Setiausaha Agung PKPB, Mohammad Rizan Hassan dalam satu kenyataan memberitahu, rakyat terutama golongan pekerja meluahkan kebimbangan melihat situasi politik yang melanda negara.

“Sejak 2018, rakyat khususnya pekerja menempuh banyak dugaan dalam bergerak ke arah kesejahteraan ekonomi dan sosial.

“Majoriti golongan pekerja berasa bimbang dengan situasi politik, ekonomi dan sosial di negara kita yang semakin jauh dari aspek kestabilan dan perpaduan.

“Justeru kami menyeru semua parti politik dapat terima apa sahaja keputusan dan mandat baru yang rakyat berikan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok,” katanya.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Kesiapsiagaan agensi di bawah KDN di tahap tinggi - Hamzah

SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI


Tambah Rizan, kestabilan dan perpaduan amat penting kerana dua faktor ini dapat memberi kemajuan dan keamanan negara.

“Masa depan negara bergantung kepada kestabilan politik dan perpaduan di kalangan masyarakat. Justeru itu, pemimpin yang dipilih mesti menumpukan tindakan dan kegiatan untuk meningkatkan dua perkara ini.

“Rakyat berharap ahli politik yang mendapat mandat bersepakat dalam segala kegiatan dan tindakannya untuk negara meskipun ada perbezaan pendapat namun kecemerlangan negara perlu menjadi keutamaan,” katanya.

Sementara itu, PKPB menyeru semua pekerja di Malaysia terutama golongan belia untuk keluar mengundi demi pembangunan ekonomi dan jaminan kerjaya masa depan.