SEREMBAN: Kepastian bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun bakal diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat semakin cenderung menjadi kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat hari ini secara terbuka membuat kenyataan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan akan menyandang dua kerusi di negeri dipimpinnya itu.

Namun katanya, perkara itu akan hanya berlaku seandainya tersenarai secara rasmi sebagai calon mewakili PH dalam pengumuman yang akan dibuat pada 28 Oktober ini.

“Selagi saya belum hantar borang pencalonan dan diterima, selagi itulah saya bukan calon lagi. Sikamat saya akan kerja untuk Sikamat dan saya akan bertugas dengan masyarakat Sikamat sebagai ADUN,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri Sembilan, di sini petang tadi.



Bagaimanapun jelasnya, soal membabitkan urusan pemilihan calon yang akan disenaraikan pada PRU15 kali ini diserahkan kepada kepimpinan tertinggi PKR dan PH untuk memutuskanya.

Katanya, beliau yakin dengan kebijaksanaan kepimpinan tertinggi gabungan itu dan tidak mencampurinya.

Apapun tegas beliau segala teka teki itu akan terjawab sepenuhnya pada majlis yang akan diadakan Jumaat ini.

“ADUN (Pilihan Raya Negeri) saya kena selesaikan, akan datang saya tak tahu, (ia) mengikut pimpinan (PKR). Hasrat saya hanya  mengikut sahaja perintah kepimpinan parti. Saya dalam parti, saya tak boleh buat apa-apa.

“Kalau dia (pimpinan tertinggi PKR) kata suruh saya berhenti, saya kena berhenti. Itu kita kena akur,” katanya lagi.

Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!

Kerusi Parlimen Port Dickson sebelum ini hangat diperdebatkan selepas penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengosongkanya setelah mengumumkan akan bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Tambun, Perak.


Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober 2018 dengan majoriti 23,560.