MUAR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengajak parti politik melontarkan pandangan dan mencari solusi pelbagai masalah dalam 'pertandingan idea' untuk dinilai oleh rakyat di negara ini.

Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata mereka boleh membentangkan idea antaranya cara untuk menambah baik sistem pengangkutan awam, pendidikan negara dan gaji pekerja.

"Saya harap selepas ini ada pertandingan idea dan solusi kepada masalah yang dihadapi rakyat kerana ia adalah pentas penting untuk rakyat memilih kita masuk ke Parlimen, membawa suara mereka dan idea baharu serta segar untuk menyelesaikan masalah mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Deklarasi Aset Syed Saddiq di Pejabat MUDA Parlimen Muar di sini malam tadi.

Mengulas mengenai fokus MUDA dalam tempoh berkempen yang masuk hari keenam, Syed Saddiq berkata pihaknya banyak memfokus kepada menyelesaikan masalah rakyat.

Terdahulu, beliau mengisytiharkan harta dengan nilai aset bersih sebanyak RM1.9 juta dengan kebanyakannya diperoleh sebelum dan selepas menyertai politik serta sepanjang menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Penyandang Parlimen Muar itu berkata pengisytiharan harta milikinya setakat 30 Sept lepas dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.

Parlimen Muar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Syed Saddiq, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Helmy Abd Latif dan calon Perikatan Nasional (PN) Abdullah Husin.

Pada PRU14, Syed Saddiq yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Bersatu menewaskan penyandang kerusi itu Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Abdul Aziz Talib (PAS) dengan majoriti 6,953 undi.

-- BERNAMA