TAPAH: MIC telah mengenal pasti tiga kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Perak yang akan ditandingi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Senarai kerusi itu akan diumumkan oleh Presiden parti, Tan Sri S.A Vigneswaran dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kawasan Parlimen di Perak sentiasa ditandingi oleh Presiden parti itu sejak zaman Tun Sambanthan, diikuti Tun S Samy Vellu.

"MIC sendiri ada kekuatan di Perak di mana masyarakat India masih yakin dengan kepimpinan MIC dan mereka telah melihat kepimpinan parti-parti lain.

"Kalau sebelum ini kita boleh sebut hanya BN memerintah, parti-parti lain tidak diberi peluang dan kini kita lihat PRU14 telah beri peluang kepada semua parti.

"Kita dah lihat menteri-menteri Kabinet dari Pas, Bersatu, PKR, DAP, MIC, MCA, UMNO dan sebagainya dan kini rakyat boleh menilai siapakah yang akan membawa perubahan," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Program Penerangan dan Kesihatan  Pekerja di Pusat Komuniti Kampung Batu 3, Temoh pada Sabtu.

Saravanan berkata, beliau percaya berdasarkan senario politik masa kini, kedudukan BN memang selesa di Perak.

Mengenai kemungkinan terdapat kerusi tambahan di Perak, jelasnya, ia juga akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, MIC bersedia untuk menerima perubahan sekiranya terdapat kerusi yang boleh dimenangi oleh rakan komponen, termasuk kerusi yang ditinggalkan parti Gerakan kerana menyertai Perikatan Nasional (PN).