Berita kematiannya disahkan oleh cucunya Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan pada Sabtu.
"Mendiang meninggal dunia di rumahnya kira-kira jam 8 malam," katanya.
Ramanan, yang juga Ahli Parlimen PKR untuk Sungai Buloh memaklumkan, ahli keluarga masih membincangkan perincian untuk upacara pengebumian.
Devaki pertama kali menceburi diri dalam dunia politik apabila memegang jawatan dalam Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952.
Mendiang, yang juga ahli MIC paling tua itu, memenangi kerusi di Bangsar pada tahun yang sama.
Dalam satu temubual bersama FMT pada tahun 2020, mendiang memberitahu minatnya dalam bidang politik tercetus selepas dua wanita memenangi pilihan raya di Sri Lanka dan Singapura, sesuatu yang mustahil ketika itu.
Mendiang kemudian dijemput untuk menyertai Parti Kemerdekaan Malaya oleh Datuk Onn Jaafar.
Di bawah pakatan ini Devaki, yang dilahirkan di Port Dickson, kemudian bertanding di kerusi Sentul pada tahun 1959 namun kalah.
Sebagai ahli pertahanan awam, mendiang menguruskan klinik kesihatan di Stadium Merdeka ketika rusuhan pada bulan Mei 1969.
Ketika itu Devaki ditugaskan untuk menjaga kira-kira 3,500 mangsa rusuhan serta gelandangan.
Mendiang turut memainkan peranan penting dalam pindaan Rang Undang-Undang Penjagaan Kanak-kanak pada tahun 1999 bagi membolehkan ibu tunggal menjaga anak mereka.
Devaki juga merupakan wanita berbangsa India pertama untuk memandu kereta di Kuala Lumpur dan berkahwin dengan P Krishnan yang meninggal dunia pada tahun 1998.