SUNGAI SIPUT: MIC meminta agar dapat dilibatkan sama dalam memberi pandangan kepada penentuan calon-calon daripada parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, berkata, ini bagi memastikan calon yang bakal dipilih nanti benar-benar dapat memenangkan BN di semua kerusi yang dipertandingkan.

Menurutnya, selain isu pengagihan kerusi, perkara berkenaan juga akan disuarakan dalam pertemuan dengan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan yang dijadualkan pada 21 Jun ini.

“Kali ini kita juga mahu mengetahui calon-calon daripada parti-parti lain dalam BN. Ini kerana, MIC juga mahu memberi pandangan terhadap semua calon yang akan bertanding di bawah logo BN.

“Sebelum ini (PRU14 lalu), kita (BN) telah mengalami kekalahan yang besar. Jadi sebab itu, kita mahu pastikan calon yang akan dipertandingkan nanti adalah calon boleh menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Tertutup Parlimen Sungai Siput di sini pada Ahad.

Selain itu Vigneswaran menjelaskan, cadangan itu dibuat bukan bermakna partinya mempunyai masalah dengan parti komponen lain, sebaliknya ia sekadar memberi pandangan demi memastikan kemenangan BN.

Katanya, walaupun perbincangan itu diadakan, keputusan terakhir bagi memuktamadkan senarai calon BN akan tetap diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi.

“Cadangan ini dibuat susulan masih ada lagi kawasan-kawasan yang tidak ada penyelaras parti. Jika ada penyelaras pun, ada yang daripada BN malah ada juga yang tidak berada dalam (kepimpinan) BN,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, apabila ditanya tentang peluang BN untuk memenangi semula kerusi di Parlimen Sungai Siput pada PRU15, Vigneswaran berkata beliau yakin dengan perkara itu.

Ujarnya, beliau yakin rakyat di peringkat akar umbi terutama di kawasan Parlimen berkenaan akan kembali memberi sokongan kepada BN.