Pensyarah Kanan Polisi Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Firdausi Suffian berkata undi ditolak adalah kesan daripada kurangnya pendedahan terhadap pemahaman politik dan proses pengundian.
“Undi ditolak ini merujuk kepada mereka yang tidak mengundi dengan betul, misalnya tidak memangkah dengan betul ataupun melukis pada kertas undi,
“Ia berbeza dengan undi protes kerana pengundi protest hanya akan memilih parti yang disokongnya berbanding parti lain,” jelasnya sewaktu ditemu ramah secara maya dalam program Malaysia Memilih pada Jumaat.
BACA: Undi ditolak di Sabah tertinggi pada PRU14, apa makna menjelang PRU15?
Selain itu, memahami landskap undi ditolak menerusi dapatan kajian Astro AWANI bersama Universiti Malaya (UM), negeri Sabah merupakan negeri tertinggi yang dicatatkan undi ditolak yang membawa jumlah sebanyak 1.72 peratus.
Terdapat empat parlimen dari Sabah yang menyumbangkan kepada peratusan (1.72 peratus), Antaranya parlimen Beluran; Kota Marudu; Beaufort; dan Kinabatangan.
Firdausi turut menjelaskan wujudnya keperluan data yang mampu memperlihatkan trend pengundian di Sabah untuk memahami punca yang menyebabkan undi ditolak.
“Menerusi data ini, kita lihat ada trend, dan jika inilah trend yang menyebabkan undi ditolak, maka ini adalah satu masalah yang besar,
“Kita perlukan analisis yang lebih teliti, dan mereka harus diberikan pendidikan,
“Parti politik, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan kerajaan tempatan perlu memainkan peranan untuk mengajar mereka cara mengundi,” tambahnya.
Pada masa sama, beliau tidak menolak faktor akses kepada pendidikan, infrastruktur dan kesihatan menjadi faktor terhadap kurangnya literasi pengundian dalam kalangan masyarakat Sabah.
“Kalau kita lihat, empat parlimen yang disebutkan tadi adalah kawasan pedalaman dan diperakui memang ada masalah akses terhadap pembangunan,
“Jika akses dan kemudahan itu dapat dicapai oleh empat lokaliti tersebut, ia dapat mewujudkan sebuah ekosistem pendedahan politik dan mengundi kepada rakyat sabah,
“Oleh itu akses perlu ditekankan untuk mewujudkan ekosistem pengundian yang baik di Sabah,” jelas Firdausi.
Beliau juga yakin bahawa jika tumpuan seperti didikan politik, dan akses kepada pembangunan khususnya di kawasan pedalaman dapat diberikan secara holistik, maka ia akan melahirkan sebuah pola pengundian yang baik di negeri itu.