Ketuanya, Datuk Seri Zurainah Musa dalam satu sidang media di Pejabat Wanita UMNO Wilayah Persekutuan Medan Tuanku, yang terletak di ibu kota pada Ahad memaklumkan, pihaknya juga menginsafi kekalahan yang berlaku.
“Kepada calon-calon yang kalah, ini bukan pengakhiran buat anda. Kita wajib hormati pilihan pengundi-pengundi dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi raja berpelembagaan.
“Wanita UMNO Wilayah Persekutuan juga menginsafi dan menyedari kekalahan berlaku semalam dan menyifatkan pada PRU14, rakyat menegur UMNO/BN, akan tetapi, PRU15, rakyat menolak UMNO/BN,” ujarnya.
Maka dengan itu, beliau menegaskan agar Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi wajib bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penolakan rakyat terhadap UMNO/BN.
“Kami mahukan Ahmad Zahid meletakkan jawatan beliau selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO dengan serta-merta,” tegasnya.
UMNO juga ujarnya memerlukan penstrukturan baharu parti untuk mendepani dan menjadikan parti ini sebagai pilihan rakyat pada masa akan datang.
“Wanita UMNO Wilayah Persekutuan menjunjung tinggi keputusan dan tegas dengan pendirian 'No Anwar, No DAP' sepertimana yang telah diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
“Tiada mana-mana individu boleh melanggar ketetapan Perhimpunan Agung UMNO; termasuklah Biro Politik, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ataupun Presiden yang bolen menguban keputusan itu, melainkan melalui Perhimpunan Agung UMNO Khas,” tambah beliau.