Jelas Pengerusi Badan Perhubungan BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, waktu ini merupakan tempoh untuk menguji kesetiaan mereka kepada parti.
Jelasnya, masih ada peluang untuk mereka dicalonkan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi.
“Sebab kita dah serah senarai. DUN tiada pilihan raya. Saya harap mereka yang disenarai pendek itu bekerjalah untuk parti.
“Kalau sabotaj... hi hi bye bye lah. Sebab peluang masih ada. Kita ada tujuh ke lapan bulan untuk pilihan raya dan kita akan monitor calon-calon berpotensi ini,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan watikah pelantikan calon Parlimen Terengganu.
Jelasnya, sekiranya terdapat isu sabotaj, BN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut.
“Tindakan berdasarkan parti kita dah ada, kalau dia ada dalam senarai nama calon automatik kita akan gugurkan.
“Jadi dalam politik ini perlu bersikap rasional dan perlu ada pertimbangan sebelum sesuatu perkara yang ingin dilakukan supaya tidak memberi kesan kepada parti,” jelasnya.
Beliau juga berharap agar semua jentera diperkukuhkan terutama untuk mendapatkan kembali kerusi yang pernah dimenangi BN pada sebelum ini.