BERA: Tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang hanya berbaki kurang dua hari lagi, menyebabkan semua calon terus agresif berkempen bagi meraih undi pada Sabtu ini.

Di Bera, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat terus menjalankan program bertemu masyarakat di Parlimen itu.

Dalam kesibukan jadual kempen yang padat, beliau turut berkesempatan menunaikan solat hajat dalam Program Solat Hajat Perdana Keluarga Malaysia di Masjid Darul Fikri di sini pada malam Khamis.

Ismail Sabri tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 8.30 malam sebelum menunaikan solat isyak dan solat hajat yang dipimpin Imam I Masjid Darul Fikri, Ahmad Jakim Samsuddin.

Selepas solat hajat, Ismail Sabri beramah mesra bersama jemaah dan penduduk sekitar sebelum meneruskan programnya di Triang dan Kampung Paya Tateh di sini.

Esok, beliau dijadualkan hadir dalam lapan program di kawasan Parlimennya sebelum tempoh berkempen PRU15 tamat pada tengah malam.

Ismail Sabri berdepan saingan calon Pakatan Harapan (PH) Abas Awang dan Perikatan Nasional (PN), Datuk Asmawi Harun.