Penyandang Parlimen Johor Bahru yang juga calon Pakatan Harapan (PH), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata isu itu dilihat penting untuk warga Johor Bahru yang terkesan dengan nilai mata wang tinggi negara jiran, Singapura.
Katanya lokasi Johor Bahru yang dekat dengan Singapura mendorong warga Republik itu berbelanja, sekaligus mempengaruhi harga kenaikan barang yang membebankan rakyat Johor.
"Selain isu ekonomi, isu pemilikan perumahan menjadi isu penting kerana di kawasan ini terdapat beberapa perumahan yang bermasalah.
"Contohnya pangsapuri Desa Hajah Hasnah, Desa Melayu dan Rumah Prima Tebrau, ini memerlukan desakan atau wakil rakyat yang memahami isu dan kaedah untuk pastikan kebajikan terjamin.
"Isu rumah mampu mahal atau mampu tengok di Johor Bahru yang banyak lambakan, jadi memag kena ada tindakan yang lebih agresif untuk pastikan rumah dibina itu mampu dan layak dimilik oleh penduduk tempatan," katanya ketika ditemui Astro AWANI semasa berkempen bertemu penduduk di Kampung Melayu di sini.
Isu perumahan sama dibawa calon Pejuang, Mohamad Akhiri Mahmood yang menyatakan masalah itu boleh diatasi dan tidak sukar untuk dilaksanakan.
"Isu perumahan kerana saya dibesarkan dipersekitaran tinggal di flat dua bilik, ini situasi ini lebih 30 tahun lalu. Tetapi rumah yang saya diami dahuu kecil dua bilik, masih lagi di didiami oleh masyarakat kita lebih-lebih lagi masyarakat melayu.
"Jadi ini dua isu yg kena dengar, fikir rancang penambahbaikan. Permasalahan itu bukan terlalu sukar dilaksanakan cuma memerlukan analisa, perancangan dan mekanisma utk dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, isu berbeza turut dibawa calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Mohtaj Yacob dan calon Barisan Nasional (BN) Johan Arufin Mohd Ropi, yang memfokuskan isu infratuktur.
Mohd Mohtaj berkata penyelenggaraan sistem perparitan dan saliran perlu dilaksanakan kerana kawasan Johor Bahru yang kerap dilanda banjir kilat sejak kebelakangan ini.
"Kita nampak keadaan banjir hujan lebat, musim monsun ini banyak kawasan yang ditenggelami air.
"Sistem perparitan kita kena tumpukan juga, bila berlaku banjir kesannya jalan sesak jadi di situ perjalanan untuk orang ramai berurusan dah sesak.
"Kita perlu lihat isu seperti itu juga dengan keadaan, jalan perparitan yang perlu dilihat dan diberi perhatian," katanya.
Bagi Johan Arifin, biarpun baru menjadi calon muka baru, dia mempertaruhkan isu penambahbaikkan infrastuktur sedia ada seperti medan selera dan jalan raya.
Selain, mahu membangunkan 'Central Park' di sekitar kawasan Parlimen Johor Bahru untuk rakyatnya beriadah.
"Seperti medan selera perlu penambahbaikan di peringkat pusat, yang perlu perhatian itu perkata yang kita nak bawa selain itu infrastuktur lain seperti kemudahan sukan dan Central Park.
"Itu antara yang kita hendak bawa, dalam parlimen Johor Bahru tiada Central Park. Kita mahu bawa isu itu, kita sudah kenalpasti tapak tetapi mungkin kita hendak cuba dapatkan peruntukan. Dalam Parlimen Johor Bahru ada sebuah taman supaya berikan satu kawasan riadah untuk orang Johor Bahru," katanya.