Berita duka itu dikongsi Young Syefura menerusi akaun Instagramnya pada Khamis.
Jelas Young Syefura, pada awalnya berita kehamilan itu ingin dimaklumnya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun yang sebaliknya berlaku.
"Saya ingat saya ingin umumkan berita kehamilan selepas selesai PRU nanti. Namun ramai yang perasan serta bertanya dan kemudian mengucapkan tahniah.
"Hari ini ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-33, saya menerima khabar berita duka bahawa saya telah disahkan keguguran," jelasnya.
Tambah Young Syefura, pemeriksaan doktor pada Rabu mendapati kandungannya itu tidak membesar selepas enam minggu dan disahkan telah tiada.
"Kandungan tidak membesar selepas 6 minggu. Kandungan ini sepatutnya berusia 8 minggu. Terima kasih kepada semua di atas sokongan yang diberikan," kata Young Syefura lagi.
Pada PRU kali ini, Young Syefura berdepan saingan lima penjuru di Parlimen Bentong.
Antara pesaingnya bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Khalil Abdul Hamid (bebas), Datuk Roslan Hassan (PN) dan Wong Tack yang juga penyandang kerusi Parlimen itu sebagai calon bebas.
Pada PRU14 lalu, Wong Tack daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 2,032 undi menewaskan calon BN, Tan Sri Liong Tiow Lai dan Pas, N Balasubramaniam.
Ed: Kami di Astro AWANI mengucapkan takziah kepada Young Syefura di atas berita duka ini. Semoga Young Syefura terus tabah dan diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan besar ini.