PENAMPANG: Kehadiran kumpulan pengundi muda yang pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pagi ini memeriahkan proses pengundian di kerusi Parlimen Penampang, di sini hari ini.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, selain golongan berusia, pengundi baharu dan muda dilihat silih berganti tiba di Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan ST Aloysius.

Beberapa individu yang ditemui mengakui teruja dan gementar untuk menjalankan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.

Begitu pun, demi kebaikan negara, mereka tekadkan semangat untuk hadir seawal pagi.

“Mula-mula tanya ahli keluarga dulu. Lepas itu tanya ibu bapa juga mahu pilih yang mana.

“Proses mengundi hari ini berjalan dengan lancar, tidak sesak dan sekejap saja.

“Kita perlu turun mengundi untuk negara,” kata Emmanuel Sunny, 18.

Sementara itu, graduan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Sarawak, Aaron Apollonius, 23, berharap golongan belia tidak melepaskan peluang untuk turun mengundi hari ini.

“Sebagai seorang belia mesti bertanggungjawab untuk masa depan masyarakat kita.

“Penting untuk mengundi kerana perlu tengok juga kepentingan untuk masyarakat, dan kebanyakan belia muda ini tidak memandang serius kepada masa depan kerajaan,” katanya yang merupakan pengundi pertama kali.

Dalam pada itu, pekerja sendiri, Rayner Woritus, 21, pula mengakui membuat persiapan sebelum ke pusat mengundi pada jam 8 pagi tadi.

“Lebih tepat perasaan gementar dan teruja sebab ada peluang untuk mengubah keadaan politik.

“Kita perlu turun mengundi supaya dapat memastikan kesenangan rakyat,” ujarnya.


[LAPOR LANGSUNG] PRU15: 20 peratus keluar mengundi setakat 10 pagi - SPR

Seorang lagi pengundi pertama kali, Jaen Carolline, 23, berkata ia merupakan pengalaman berharga buatnya kerana dapat hadir bersama dua lagi adik beradiknya.

“Kami jangka kalau datang waktu pagi kurang orang.

“Sebagai pengundi muda, ini adalah hak kita untuk mengundi,” katanya.

Bagi PRU15, kerusi Parlimen Penampang menyaksikan saingan empat penjuru.



Ia melibatkan Datuk Darell Leiking (Parti Warisan); calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Kenny Chua Teck Ho; calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ewon Benedict serta seorang calon Bebas, Richard Jimmy.

Setakat jam 10 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 20 peratus.