IPOH: Walaupun kali pertama terjun ke gelanggang pilihan raya, calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang, Dr Richard Ng tidak gentar berdepan calon lawan termasuk daripada nama besar dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU15 kali ini, kerusi DUN berkenaan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PN yang diwakili Richard, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming daripada PH serta Bendahari MCA Ipoh Barat, Lim Huey Shan daripada Barisan Nasional (BN).

Richard yang juga Ketua Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak berkata keberadaan calon lawan yang terdiri daripada nama besar itu juga disifatkan sebagai pertembungan sengit bagi kerusi tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau yakin gerak kerja sukarelawannya melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta jawatan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selama ini akan membantu meyakinkan pengundi untuk memilih beliau pada PRU15.

“Walaupun ada satu nama besar yang saya perlu tentang, saya tak ada rasa apa-apa. Akan tetapi, dia (Kor Ming) yang pernah menang di sini pada PRU13,  saya mahu tanyakan apakah rekod cemerlang dia selepas itu?

“Saya boleh tunjuk rekod cemerlang saya dan apa yang saya sudah buat di sini. Apa beza nama besar itu dengan saya? Dia pandai bercakap, saya pun pandai bercakap sebab ni ni saya bekas profesor madya. Saya bercakap tentang perkara benar dan fakta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi jelajah mesra dalam siri kempen PRU15 di Pangsapuri Kinta Heights dekat sini pada Selasa.

Pada PRU13, Kor Ming memenangi kerusi DUN Kepayang dengan majoriti 4,604 mengalahkan calon BN, Chang Kok Aun.

DUN Kepayang yang merupakan antara salah satu daripada tiga DUN di Parlimen Ipoh Barat itu melibatkan seramai 25,190 pengundi berdaftar pada PRU15.

Dalam pada itu, Ricard yang juga bekas pensyarah berkata sekiranya beliau menang di kerusi berkenaan pada PRU15, beliau mahu memperkasakan sektor pelancongan warisan dan menaiktaraf infrastruktur seperti sistem saliran di DUN Kepayang.

Malah katanya beliau juga mahu membawa agenda kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar dengan lebih serius ke peringkat negeri.

“Dahulu tahun 2007, kerajaan negeri katanya mahu bebas daripada penggunaan plastik, tetapi seolah-olah ia tidak jadi. Selepas tukar kerajaan pun sama sahaja.

“Jadi, sekiranya saya terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), saya mahu pastikan kerajaan negeri mesti mengharamkan pengunaan plastik.

“Ketika ini, jika dilihat pada acara jamuan dalam majlis anjuran kerajaan negeri, masih ada yang menggunakan bahan seperti polisterin. Ini menujukkan tahap kesedaran (kelestarian alam sekitar) masih tidak ada,” katanya lagi.