KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan Pakatan Harapan (PH) menukar beberapa calon kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana gagal memberikan khidmat di tempat mereka.

Sebaliknya jelas Naib Presiden UMNO itu, tindakan terbabit berkemungkinan untuk memberikan janji baharu untuk mempengaruhi pengundi di kawasan berkenaan. 

"Saya hanya baca dalam surat khabar, dia dah umum malam tadi beberapa pertukaran berlaku - antara Presiden Anwar (Ibrahim) sendiri dari Port Dickson berpindah ke Tambun. Ramai berpindah-randah... saya tak tahu kenapa mereka suka berpindah-pindah," jelasnya.

Tambah Ismail Sabri lagi, UMNO sebaliknya mengekalkan wakil rakyat mereka di kawasan sama kerana telah memberikan perkhidmatan terbaik.

"Mungkin mereka tak yakin perkhidmatan yang mereka berikan selama ini kepada pengundi menyebabkan mereka ke tempat lain dan buat janji-janji baharu supaya boleh mempengaruhi pengundi di tempat baharu.

"Mereka tak boleh membohongi pengundi sama, kalau tak beri perkhidmatan kepada pengundi di kawasan itu, rakyat tak percaya," jelasnya lagi.

Mengulas mengenai kawasan Parlimen Bera ujar Ismail Sabri, beliau telah bertanding sejak tahun 2004 dan tidak berpindah kawasan lain.

"Saya di Bera sejak tahun 2004 saya masih kekal di Bera. Kalau saya Perdana Menteri, mungkin saya boleh minta p‌indah di kawasan selamat.

"Kalau saya tak beri perkhidmatan kepada rakyat di Bera, saya takut, sebab janji saya tak diterima. Tapi hampir semua calon UMNO kekal di tempat sama sebab kita berikan perkhidmatan terbaik.

"Kalau kita janji nak berikan perkhidmatan pun mereka yakin dengan kita," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Kenduri Rakyat Keluarga Malaysia Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Kuantan pada Sabtu.